Archives

0

Analogi : Politik

Insoft Saturday, May 11, 2013



Politik : Sebuah analogi..


Satu pagi.

" Saya tidak membenarkan doktor memberikan ubat antibiotik kepada anak saya" ujar seorang ibu dengan wajah kurang senang.

Dr Hakim sedikit tersentak.

" Puan, anak puan ini demam. Suhu badan 38.7 darjah celcius. Nafasnya semakin cepat. Batuk semakin berat dan tekaknya merah " Dr Hakim menerangkan keadaan si kecil.

Ibu itu lantas mendukung anaknya. Si kecil lesu dalam dakapan ibunya. Suara nafasnya keras kedengaran. Sesekali batuk.

Sambil menarik nafas yang dalam dengan tenang Dr Hakim bangun dan mengeluarkan salinan filem xray dada si kecil yang ada bersama rekod perubatan pesakit dan menunjukan kepada si ibu.

" Cuba puan lihat gambaran paru-paru anak puan ini. Ada gambaran putih kabur di bahagian tengah paru-paru kanan. Ini menguatkan lagi bahawa adanya jangkitan kuman yang perlu pada antibiotik. Ujian darah juga menunjukkan darah putih tinggi dari batas normal."

Si ibu terus menunjukkan reaksi tidak senang.

" Saya pernah mendengar di dalam majalah dan internet. Antibiotik boleh menyebabkan reaksi alahan kepada penggunanya. Boleh menyebab bengkak badan, henti nafas dan kematian. Saya tidak mahu hal itu terjadi kepada anak saya" jawab si ibu sedikit tinggi suara.

Ternyata si ibu sedikit peka dengan dunia perubatan. 

Dr Hakim menarik nafas yang dalam mendengar alasan si ibu sambil menggelengkan kepala.

.................................

Satu petang.

" Saya tidak mahu mengubah dan menukar kerajaan sekarang."
Ujar Tok Aki tegas.

Dr Hakim menatap wajah Tok Aki dengan tenang.

" Tok, kerajaan sekarang ini sangat mementingkan kroni. Berapa banyak tender diberi secara langsung. Projek- projek besar berbilion diberikan pada kaum keluarga. Lembu tinggal dalam kondo. Tauke- tauke besar mengaut untung berlipat kali ganda. Membeli barang dengan harga yang tidak munasabah. Masakan sebuah komputer riba harga berpuluh ribu? Ini laporan rasmi audit. Kalau macam ini, yang kaya makin kaya yang miskin kekal merana.

Satu persatu Dr Hakim mengemukan hujah.

Tok Aki menyandar di kerusi malasnya. Sesekali di hirup kopi pekat yang disediakan oleh Toknek.

" Ruang demokrasi telah mati. Media disekat. Tuduhan dilemparkan kepada umum tanpa yang di tuduh diberikan ruang menjawab. Agensi rasmi kerajaan digunakan untuk kepentingan parti politik. Intelektual dan kecerdasan rakyat diperlekeh. Isu lucah dan jijik terus muncul di media arus perdana".

Sambil meletakkan tabletnya di atas meja, Dr Hakim menyambung hujah.

" Tapi, kalau kerajaan tukar, Cina yang berkuasa. Kau nak jadi macam Singapura?" Tok Aki menjawab sedikit tinggi suara.

Dr Hakim menarik nafas yang dalam mendengar jawapan Tok Aki sambil menggelengkan kepala.

Teringat dengan ibu pagi tadi.

.................................

Sendiri fikir.....
 
Copyright 2010 InSoft...