“Haccum!!!”
“Haccum!!!”
“Sekali lagi..”
“Haccum!!!”
Hampir setiap pagi akan kedengaran suara bersin sahabat satu rumahku yang mempunyai allergik rhinitis. Alahan pada waktu pagi yang dingin.
Siapa yang tidak pernah bersin? Aku yakin semua orang pernah bersin. Jika tidak pernah, silakan rujuk ke hospital atau klinik berdekatan.
Bersin kita sedia maklum sebagai satu refleks fisiologis untuk mengeluarkan benda asing yang telah menggangggu pernafasan kita di hidung. Ini sangat penting sebagai salah satu daripada sistem pertahanan awal bagi diri manusia dari jangkita kuman.
Tetapi sedarkah anda bahawa kebaikan bersin tidak berhenti sekadar itu?
Dahulu...
“Haccum!” aku bersin.
“Along, bersin sebut apa?” ummi segera mengingatkan.
“Alhamdulillah” sahut aku pantas.
“Angah jawab apa?” ummi beralih ke adikku angah.
“Yarhamkallah” ujar angah.
“Yahdikumullah” aku menjawab tanpa menunggu ummi. Ucapan penuhnya “ yahdi
kumullah wa yushlihu balaakum” tapi aku masih muda, berbelit pula lidah nak menyebutnya.
“Pandai” senyum ummi.
Aku masih ingat ajaran ummi dan abah tentang adab bersin.
Maha suci Allah yang Maha Sempurna. Ketika sunnatullah diadun bersama syariatullah, kesannya luar biasa.
Refleks fisiologis seorang manusia, yang memang menjadi keperluan setiap manusia melawan penyakit ketika dilakukan bersama adab yang diajarkan menjadi satu keadaan manusia berzikir dan saling doa mendoakan antara sesama. Sungguh luar biasa.
Mari kita renungkan. Dalam kehidupan kita sedah berapa kali kita bersin? Mungkin anda gila jika mengiranya. Yang pasti banyak kali. Dan dalam setiap kali kita bersin, kita beradab sebagaimana yang Islam ajarkan, setiap kali itu juga kita menerima doa daripada orang-orang disekeliling kita. Sama ada kenal atau tidak.
Berapa banyakkah kita menerima doa dari manusia tanpa kita sedar? Pernahkah kita terfikir bahawa selama ini hidup kita penuh nikmat dan kesenangan hasil daripada berkat doa orang-orang ini?
Sungguh manusia itu jahil dan zalim.
Belum lagi doa-doa yang dialunkan oleh kaum muslimin yang lain yang sifatnya umum. Anda tentu tahu bahawa setiap solat jumaat di akhir khutbah ada doa buat seluruh kaum muslimin.
Juga dengan alunan salam tiap kali kita berjumpa dengan kenalan atau teman.
“Sejahtera ke atas kamu”
Nah, berapa banyak lagi orang-orang yang telah mendoakan kita?
Mungkinkah selama ini nikmat yang kita dapat cuma menumpang doa mereka? Kita tahu diri kita penuh dosa. Doa belum tentu Tuhan terima. Tapi tetap hidup kita penuh rahmat.
Subhanallah. Sungguh Islam itu bukan individu. Islam itu ummah. Islam itu jemaah.
Sedarkah kita?
Jika kita sedar, bersyukurkah kita?
“ Tidakkah aku menjadi hamba yang bersyukur?” ujar insan agung dengan kakinya bengkak beribadah kepada Allah.
Dan kita...
Kita hanya menumpang.
p/s :
"Doa seorang muslim untuk saudaranya dari belakang dikabulkan. Di sisi kepalanya ada malaikat yang ditugaskan, setiap kali ia berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, malaikat yang ditugaskan dengannya berkata: Amin, dan untukmu semisalnya." ( Sahih Muslim )