You Are Reading

0

Diari Doktor Alwi

Insoft Tuesday, March 30, 2010
30 Mac 2010

Hari ini aku mengikuti diskusi dan laporan pagi para pesakit yang masuk ke wad bersalin Hospital Dr Sulaiman seperti biasa. Cuma ada 2 kes yang diperkatakan. Masa yang Cuma 1 jam tidak memungkinkan untuk diskusi dengan lebih lanjut. Ada pesakit yang melahirkan kembar. Alhamdulillah selamat keduanya.

Sesi tutorial bersama doktor Abu Bakar bermula agak lambat. Mungkin ini kali pertama kami bertemu setelah 3 minggu aku berada di hospital daerah lain. Agak lambat juga menyediakan pemancar LCD dan komputer. Mujur Doktor Abu Bakar sangat baik dan sempoi. Yeah!

“ Tidak ada yang bodoh. Yang ada cuma kebodohan”. Kata-kata yang masih aku ingat waktu tutorial dari Dr Abu Bakar. Benar juga ya. Manusia itu tidak bodoh, cuma kadang-kadang berada dalam kebodohan. Wah, tinggi bahasa Dr Abu Bakar. Aku Cuma tersenyum dan mengangguk. Jadi, anda tidak bodoh, tapi tolong, jangan biarkan diri anda terus berada dalam kebodohan. Haha. Lucu juga.

Selesai tutorial yang juga cuma sejam, sesi Bersama Pakar pula. Kerana kumpulan aku sahaja yang belum mengikuti sesi ini, bilik diskusi tutorial tadi dijadikan tempat bertemu. Kali ini bersama Prof. Zaleha. Oh, aku ingat. Beliau pantang jika ada yang memanggil beliau doktor. Mesti prof! Hahaha. Aku Cuma ketawa di dalam hati. Padaku sama sahaja. Aku kan sempoi. Tapi mungkin beliau telah penat lelah belajar, keluar duit yang bukan sedikit. Ilmunya juga tinggi. Pengalaman usah cerita. Bertimbun. Sedikit penghargaan kepada beliau tidak ada salahnya ya. Bukan kena bayar pun. Cuma aku beberapa kali mengulang perkataan ‘prof’ diam-diam. Takut tersasul. Haru pulak nanti.

Meskipun tidak habis kerana tiba-tiba prof Zaleha mendapat panggilan tentang pesakitnya yang tiba-tiba ada masalah, ada yang terkesan di hati dan pemikiranku diskusi bersama beliau. Beliau menyampaikan bagaimana untuk seorang ibu itu selamat daripada sebelum hamil, hamil, bersalin dan seterusnya menyusukan. Namun sesi ini beliau lebih banyak berkongsi pengalaman-pengalaman beliau.

Beliau menceritakan bagaimana beliau terpaksa mengambil keputusan sama ada untuk menggugurkan kehamilan atau tidak. Jelas jika ingin menggugurkan kandungan pasti ia adalah kandungan yang tidak di inginkan. Dalam undang-undang di negara ini, tidak boleh seorang doktor melakukan aborsi atau menggugurkan kandungan. Tetapi beliau berkata keadaan di masyarakat tidak semudah itu.


Contoh mudah jika seorang itu dirogol lalu hamil. Pasti anak yang lahir itu hasil dari peristiwa hitam yang pahit. Juga beliau menceritakan tentang seorang pelajar menengah rendah yang dirogol oleh bapa saudaranya sendiri. Pelajar itu pernah datang kepada beliau untuk minta digugurkan. Tetapi beliau enggan. Tidak lama selepas itu, beliau menerima berita bahawa pelajar itu mengalami gangguan mental yang sangat berat. Belum lagi kisah seorang mahasiswi yang beliau tolak untuk aborsi akhirnya diberitakan di akhbar telah meninggal akibat aborsi di dukun.

Cuma ada sedikit yang kurang aku setuju dengannya ketika membahaskan faktor kehamilan yang berbahaya adalah hamil dibawah umur 20 tahun, beliau mengatakan pengaruh wanita di negara ini untuk bernikah awal adalah kerana faktor agama. Umur 13 tahun sudah risau mahu nikah.Waktu itu temanku Arif mengatakan budaya tetapi disanggah. Dan terang-terang beliau mengaitkannya dengan agama majotiri masyarakat di negara ini.

“ Ibu bapa di sini lebih bimbangkan anaknya belum menikah ketika sudah akil baligh berbanding anaknya yang cerai awal”. Itulah kata-katanya yang aku ingat.

Hmmm...

Pada aku, aku setuju jika dikatakan budaya. Kerana agama tidak pernah memaksa penganutnya ke arah perkara yang mudarat. Jika hamil umur terlalu muda bahaya, ya jangan dulu hamil. Tapi mungkin pemahaman beliau sama dengan peribahasa ‘biar mati anak, jangan mati adat’. Aku berlapang dada dengan pendapat beliau.

Beliau juga ada menyalahkan golongan agama kerana adanya undang-undang menghalang menggugurkan anak. Mungkin kerana pelbagai masalah di masyarakat yang terlalu banyak hingga memaksa untuk menggugurkan anak seperti cerita-cerita beliau.

Sekali lagi aku sedikit tidak senang dengan pernyataan beliau. Tapi aku positif sahaja. Bahkan aku merasa kasihan kepada beliau dan doktor-doktor sakit puan yang lain. Mereka dihadapkan dengan penghujung kepada masalah. Tahu-tahu datang sudah berisi. Akhirnya menjadi sulit dan dilema untuk membuat keputusan.

Jika ditinjau dari aspek agama, masalah itu harus diselesaikan daripada puncanya. Sama prinsipnya dengan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Tiada kehamilan yang tidak dikehendaki atau kehamilan luar nikah jika tidak ada seks bebas. Tidak ada seks bebas jika tidak ada hubungan ikhtilat yang tidak terkawal. Tidak ada hubungan tidak terkawal jika semua taat kepada agama. Tidak ada taat kepada agama melainkan hati yang tunduk pada Tuhan. Jika tahapan-tahapan itu dilepasi, ya keputusan juga semakin sulit. Yang jadi mangsa siapa? Doktor juga yang pening.

Haih...

Hari ini cukup banyak yang ku dapatkan. Moga esok lebih baik ya. Semoga duniaku semakin hari semakin damai dan makmur dengan mengenal Tuhan.

Adios...

dr Alwi Amin

0 comments:

 
Copyright 2010 InSoft...